SANAK saudara dan kenalan mendengar bacaan talkin selepas jenazah Allahyarham Abdul Jalil Saleh di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru, Batu Caves, Selangor pagi tadi. - Foto BHOnline
Wartawan Veteran Juwie Selamat Dikebumikan
Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Surau Al Tarbiah Darul Falah sebelum dikebumikan tanah perkuburan berkenaan.
Sebahagian rakan artis seperti Datuk Ahmad Nawab, Erra Fazira, Umie Aida dan Ziela Jalil hadir bagi menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman keluarganya di Selayang Baru.
Pengerusi Media Prima Bhd, Tan Sri Johan Jaaffar turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham.
Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira jam 10.30 malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.
Erra yang sempat ditemui berkata: "Kami selalu berhubung menerusi telefon dan bersembang. Dari zaman awal Erra terbabit lagi, arwah antara tempat saya berkongsi masalah peribadi termasuk hal cinta.
"Arwah tempat mengadu kerana seperti yang diketahui beliau suka berkongsi madah cinta. Malah kebelakangan ini, arwah selalu memberi nasihat keagamaan."
Ahmad Nawab berkata: "Saya rapat dengannya kerana arwah banyak menulis lirik lagu berbaur emosi dan cinta. Contohnya Kau kunci cintaku di dalam hatimu, Apa khabarmu di sana, Rindu menghiasi kamar cinta dan Semuanya sudah terlambat. Elemen cinta memang begitu dekat dengannya.
"Arwah memang orang yang baik. Arwah selalu cakap pasal agama."
Umie Aida pula berkata: "Saya sudah mengenalinya lama dan arwah memang manusia yang baik. Arwah suka menolong orang tak kira yang dikenalinya atau tidak.
"Sekitar 11 tahun lalu sebelum saya berumahtangga saya pernah mengerjakan umrah bersamanya. Di situ saya lebih kenal hati budinya.
"Arwah juga kerap menasihati saya tak kira di kala susah dan senang, setiap bulan itu cubalah bantu fakir miskin atau anak tahfiz."
Ziela Jalil berkata, Allahyarham selalu mendoakan yang baik kepada setiap orang.
"Di kalangan yang mengenalinya, arwah kerap menyebut ayat salam ya ahli syurga. Sejak saya menceburi dunia seni, arwah antara yang selalu memberi saya publisiti.
"Arwah akan menelefon saya dan sering mengungkapkan perkataan anak mama. Arwah selalu mengingati saya ke arah kebaikan. Saya tak pernah tengok arwah marah atau kecewa. Wajahnya sering tersenyum. Aura positifnya amat ketara," katanya.
Sementara itu, rakan artis yang turut hadir pada majlis pengebumian termasuk Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Shah Rezza, Sahara Yaacob dan Zack Cool.
ANTARA rakan artis yang datang melawat arwah juwie di kediaman keluarganya di selayang baru
Sumber: Berita Harian
0 Response to "Wartawan Veteran Juwie Selamat Dikebumikan"
Post a Comment