Elizad Bakal Menjadi Seorang Isteri
Pendedahan itu sekali gus menamatkan penantian dan tanda tanya beberapa pihak termasuk rakan media mengenai detik hari bahagia pelakon berusia 31 tahun itu.
Elizad yang baharu meledak dengan drama Teman Lelaki Upahan slot Akasia TV3 itu berkongsi cerita kepada BH Online.
Beliau berkata, majlis pernikahan mereka akan diadakan secara sederhana dengan dihadiri sanak saudara masing-masing di Masjid Wilayah, di sini.
Majlis resepsi pula dijangka dilangsungkan berkemungkinan dalam minggu yang sama.
"Sebab asyik tertunda, saya sendiri tak berani nak bagi tarikh tepat majlis nikah. Tapi Alhamdulillah kami sepakat memilih 11 April ini. Harap dipermudahkan apa yang dirancang. Insya-Allah.
"Cuma seperti saya katakan sebelum ini atas permintaan keluarga terutama bapa yang mahu acara nikah hanya untuk keluarga dan saudara mara sahaja. Untuk resepsi pastinya teman media akan diundang meraikan perkahwinan kami," katanya yang ketika yang ditemubual ketika menjalani penggambaran drama Dia Isteri Luar Biasa dan Isteriku Bukan Tukang Masak.
Ditanya apakah Elizad sanggup mengorbankan namanya yang sedang meledak saat ini dengan berkahwin, Elizad percaya bahawa apa yang terjadi dalam hidupnya termasuk soal perkahwinan mahu dilalui seadanya tanpa mahu mempertikaikan setiap suratan yang tertulis.
"Saya tak rasa perkahwinan ini membebankan. Kahwin itu jatuh hukum wajib kepada sesiapa yang mampu. Rezeki Allah itu luas dan saya tak perlu takut serta percaya dengan janji-Nya. Lagipun ramai saja artis yang ada nama dan sudah pun berkahwin .
"Siapa tahu selepas kahwin nanti, Tuhan akan beri lebih daripada apa yang tidak terjangka. Saya rasa dirahmati... bersyukur. Saya impikan perkahwinan ini nanti akan sampai ke jannah. Doakan kami ya!," katanya.
Selepas beberapa tahun menceburi dunia lakonan, nasib dan tuah belum menyebelahinya. Cuma tahun ini ketika drama Teman Lelaki Upahan disiarkan bergandingan dengan Ungku Ismail, nama Elizad pantas mencuri perhatian peminat drama tempatan.
"Alhamdulillah semua ini rezeki. Sebelum ini orang tak nampak siapa Elizad, mungkin juga belum rezeki saya untuk menyinar. Tapi dalam drama Teman Lelaki Upahan, orang lebih kenal dan nampak siapa saya.
"Ia umpama 'come back' buat saya dan diberi peluang muncul dalam slot yang ramai penonton. Jadi mungkin juga daripada situ ramai yang kenal saya. Saya bersyukur rezeki kian bertambah dan masa saya seharian banyak dihabiskan di set penggambaran.
"Dulu saya lambat naik mungkin jarang bercampur dan tak jaga penampilan. Kini saya juga lebih selesa keluar rumah dengan berpenampilan kemas dan dengan sedikit solekan. Saya mula sedar soal penampilan diri itu tak harus dipandang mudah," katanya.
Ditanya mengenai bakal suaminya, Elizad yang pernah membintangi filem Berlari Ke Langit dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang menjelaskan Shamsul diperkenalkan sendiri oleh kakak iparnya.
"Dulu hidup saya segala-galanya untuk keluarga dan sampai satu tahap saya tidak pernah memikirkan untuk berumah tangga. Tapi pada satu tahap saya mula berfikir tidak boleh selamanya begitu dan Alhamdulillah fasa baru akan bermula tak lama lagi.
"Arwah mama saya juga selalu cakap kalau nak cari calon suami biar yang berumur. Dia berusia 43 tahun. Sekarang saya sudah faham apa yang cuba arwah mama sampaikan. Bakal suami saya seorang yang ringkas dari segala aspek, tahu asas agama, memahami, penyabar, tak memeningkan kepala dan jenis yang kuat bekerja macam saya juga," katanya.
Pelakon utama drama Teman Lelaki Upahan,Siti Elizad Sharifuddin Dan Ungku Ismail
Sumber: Berita Harian
0 Response to "Elizad Bakal Menjadi Seorang Isteri"
Post a Comment